Jangan tunding jari pada orang lain kalau kau tak mampu nak faham rutin dan sistem dunia sekarang. Kadang-kadang kita kena berubah untuk perkara yang kita rasa tak mampu untuk ubah.

Cukupkah sekadar kasihan?

Perasaan kasihan secara automatiknya akan wujud dalam diri kita apabila melihat sesuatu keadaan, situasi, seorang, seekor atau apa-apa yang akan menyentuh perasaan kita apabila melihat kekurangannya.
Contohnya apabila kita melihat seorang ibu tua yang kudratnya hanya 10% daripada kekuatan kita kerana ditelan usia tetapi masih gagah mengangkut atau membawa beban sambil berjalan kaki di tengah panas. 

Tetapi setiap orang punyai sensitiviti rasa kasihan yang berbeza berdasarkan pengalaman hidup dan keutamaan dalam sesuatu. Mungkin ada yang kasihan melihat anak kucing yang tempang kakinya, kurus badannya dan berkurap badannya melilau mencari makan seekor tanpa ada si ibu di sisi. Mungkin ada yang tidak peduli lansung dengan pemandangan ini kerna dia melihat anak kucing itu dengan rasa kosong.

Soalnya apabila wujud rasa simpati pada 'sesuatu' cukupkan sekadar rasa kasihan itu? Atau paling kuat kita mampu ungkapkan "Kesiannya aku tengok pakcik tu, tua-tua pun kerja berat lagi." "Kesian kat peminta sedekah tu, dah la kurus, bajunya pula koyak rabak." "Tengok anak burung tu, sayapnya dah patah. Kesiannya!" 
Tetapi versi rasa kasihan kini dibawa ke satu arah yang baru iaitu butang 'share'. 

Jadi soalan saya cukupkan rasa kasihan ini kita pendam dalam hati atau paling kuat kita ungkapkan pada rakan kita? Lihat sahaja gelandangan yang wujud di Malaysia ini. Rata-ratanya hanya mampu meluahkan rasa kasihan dalam hati tidak kurang juga ada yang mengutuk dan mengeji mereka.

Apa perubahan yang mampu kita bawa pada 'mereka' yang memerlukan jika rasa kasihan ini kita hanya luah dalam hati atau sekadar di bibir sahaja? Apakah dengan berasa kasihan pada 'mereka' yang kurang daripada kita membuatkan diri kita berasa baik?

Bagi saya, rasa kasihan yang anda luah di hati dan bibir anda tidak akan mengubah atau membantu mereka yang memerlukannya. Bertindaklah sahabat!

Saya ada cerita. Kisahnya pada waktu makan tengahari di Ipoh. Jadi saya ke Medan Selera Dato Sagor untuk makan tengahari. Sampai di sana saya lihat ada seorang lelaki tua yang janggut dan rambutnya sudah putih dipenuhi uban, bajunya pula lusuh dan ada satu bekas di tangannya mengharapkan ihsan daripada orang ramai. Saya kemudian menghampiri pakcik tersebut sedekat yang mungkin tanpa menggangu beliau. Tujuan saya hanya satu, melihat reaksi orang ramai terhadap pakcik tersebut. Lelaki pertama yang lalu di hadapan pakcik itu saya rasa daripada pejabat kerajaan berdekatan, lalu sahaja di hadapan pakcik tersebut lelaki tersebut menghamburkan maki hamun kerana pakcik tersebut tidak berusaha berkerja dan meminta sedekah. Seorang demi seorang lalu di hadapannya. Yang saya dapat simpulkan 1 daripada 10 orang akan menghulurkan wang, lebih separuh saya dengar bercerita kepada rakan betapa mereka kesian dengan pakcik tersebut dan selebihnya memilih lalu sambil mengelengkan kepala.

Jadi saya sedar waktu rehat yang hampir tamat saya tegur pakcik tersebut. Saya tanya khabar dia. Dia ceritakan pada saya yang dia tinggal di masjid negeri, tiada rumah dan anak-anak sudah tidak peduli padanya. Jadi saya tanyakan pakcik tersebut pakcik takde minta bantuan pada badan zakat atau jkm ( Jabatan Kebajikan Masyarakat). Dia cuma menjawab dia buta huruf dan tidak tahu apa-apa, malah dia menyelar tindakan jemaah di masjid negeri yang apabila ceramah bercerita nak bantu orang sana-sini tetapi apabila ada orang yang memerlukan bantuan seperti pakcik ini ada di hadapan mereka, mereka hanya menggelengkan kepala. 

Saya kebetulan berkerja di badan zakat Perak ketika itu, membawa pakcik tersebut ke tempat kerja saya dan bantu beliau lengkapkan borang. 

Ketika berada di badan zakat, banyak mengajar saya yang rakyat Malaysia kurang cakna pada mereka yang memerlukan dan melepaskan tanggungjawab 100% kepada pihak berwajib seperti badan zakat dan jabatan kebajikan masyarakat untuk membantu mereka yang memerlukan. Jadi apa fungsi kita sebagai rakyat, jiran dan saudara jika rasa kasihan itu kita hanya luahkan dalam hati atau tukarkannya kepada bentuk status di fesbuk?

Mungkin kita lebih suka mewahkan diri kita kemudian pamerkannya di laman sosial daripada membantu 'mereka' yang memerlukan. Jadi saya tinggalkan kalian dengan firman Allah dalam Surah Al-Maun ayat ketujuh yang bermaksud:
"Dan orang-orang yang tidak memberi sedikit pertolongan (kepada orang yang berhak mendapatnya)."
Carilah tafsirnya dan anda akan tahu apa maksudnya.

Ayuh, lakukan sesuatu. Rasa kasihan dan jihad bukan sekadar di mulut. Ayuh kita terjemahkannya dalam bentuk perbuatan agar kita menjadi hamba Allah yang bertakwa dan sekaligus membantu 'mereka' yang memerlukannya. Mudah mudahan Allah mempermudahkan segala urusan baik kita. :)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan